Vang Vieng

Vang Vieng
Semasa di Vientiane, saya ada berborak-borak dengan beberapa orang backpackers daripada Eropah.  Mereka ada menceritakan bahawa selepas beberapa hari di Vientiane, mereka akan ke Vang Vieng… sebelum meneruskan perjalanan ke Luang Prabang di sebelah utara Laos. Menurut mereka, Luang Prabang yang merupakan salah satu tempat bersejarah yang diiktiraf oleh UNESCO memang menjadi satu destinasi wajib dikunjungi bagi pengembara Eropah.  Bekas pusat kerajaan pemerintahan beraja Lao sebelum dijajah oleh Perancis ini memang kaya dengan budaya Lao dan dikelilingi oleh berpuluh-puluh kuil budha dan sami-saminya.
.

Perjalanan ke Luang Prabang dari Vientiane menggunakan jalan darat boleh mengambil masa sehingga 10 ke 12 jam.  Melalui keadaan jalan sempit yang berliku-liku di lereng-lereng bukit dan jalan yang kebanyakannya masih belum berturap sepenuhnya, memang memenatkan.  Sebab itulah biasanya mereka akan membahagikan perjalanan ini kepada dua bahagian… iaitu bergerak daripada Vientiane ke Vang Vieng yang mengambil masa lebih kurang lima jam menggunakan bas ekspres atau minivan… kemudian transit di Vang Vieng beberapa hari sebelum meneruskan perjalanan ke Luang Prabang yang mengambil masa lebih kurang enam ke tujuh jam.
.

View Larger Map

Pada mulanya saya bercadang untuk pergi ke Luang Prabang… tetapi memandangkan perjalanannya yang jauh dan saya tidak mempunyai masa yang cukup… saya mengambil keputusan untuk merasai sendiri pengalaman menjelajah ke pendalaman Laos sehingga ke Vang Vieng sahaja. Tiket bagi bas VIP (ekspres) ke Vang Vieng berharga 35,000 kip sahaja (lebih kurang RM15) yang boleh dibeli di mana-mana hotel dan guesthouse di sekitar Vientiane.

Bus Stand Sebelah Stadium

Pekan Kecil

Saya membeli tiket di kaunter Mixay Guesthouse tempat saya menginap pada 8 pagi dan sekitar jam 9.30 pagi… datang sebuah minivan untuk mengambil saya dan beberapa orang backpackers Eropah lagi menuju ke tempat menaiki Bas.  Biasanya untuk ke daerah-daerah luar Vientiane, tempat menaiki bas ekspres adalah di North Bus Station… tetapi untuk ke Vang Vieng tempat menaiki bas adalah di sebelah National Stadium (mereka panggil central).  Saya difahamkan juga… adalah lebih mudah untuk ke destinasi lain di Laos menggunakan VIP bas kerana boleh dikatakan semua penumpang-penumpang adalah pelancong daripada luar (mostly Eropah)… dan pemandu serta kelindan bas boleh bertutur dalam bahasa Inggeris. Jadi adalah lebih mudah untuk kita bertanya dan berkomunikasi dengan pemandu jika ada apa-apa masalah… serta boleh juga berkongsi-kongsi pengalaman dan cerita dengan backpackers daripada negara lain.
Sepanjang perjalanan… saya berpendapat kampung-kampung di negara Laos ni tak banyak beza sangat dengan Malaysia… cuma mungkin kehidupan masyarakat kampung di Malaysia pada tahun-tahun 90 an.  Sawah-sawah padi terbentang luas dan petani bekerja masih menggunakan cara lama…  binatang ternakan seperti lembu dan ayam itik berkeliaran mencari makan di kawasan sekitar rumah.  Cuma satu perkara yang saya perhatikan… di setiap rumah di kampung-kampung ni… ada di dirikan pondok kecil di hadapan rumah yang lantainya diperbuat daripada buluh dan atapnya daripada daun-daun hutan (macam daun lalang).  Kemudian mereka akan makan-makan di pondok ini… juga ada yang bersantai, lepak-lepak sambil minum beer.  Lao Beer cukup terkenal di Laos dan menjadi kebanggan kepada mereka… saya perhatikan juga bahawa pelancong Eropah pun cukup suka dengan Lao Beer ni.

Sawah Padi

Tasik Nam Ngum

Setelah melalui kawasan kampung-kampung tradisional… perjalanan mula mendaki bukit ke kawasan hutan simpan.  Jalan-jalan semakin sempit dan keadaanya tidak berturap (batu kerikil) dan berdebu.  Tidak lama kemudian… kami melalui sebuah kampung yang berada di kawasan tasik Nam Ngum. Tasik ini memang cantik dengan aktiviti penduduk kampung yang mencari dan menangkap ikan di sekitar tasik menggunakan jala dan jaring.  Sebenarnya di negara Laos ni tidak ada pantai dan laut… justeru orang-orang di sini menggelar tasik Nam Ngum ini sebagai Laut negara Laos (Lao Sea).

Stesen Bas Vang Vieng

Menaiki Lori Kecil ke Pusat Pekan Vang Vieng

Saya sampai di stesen bas Vang Vieng kira-kira jam 2 petang.  Setibanya kami di situ… telah ada van (seperti lori kecil) menunggu dan menawarkan pengangkutan ke pusat pekan Vang Vieng (mereka panggil sentral…).  Jarak daripada stesen bas ke pusat pekan Vang Vieng hanya lebih kurang 3 km sahaja.  Saya ada juga bertanya… berapa harga tambang ke sentral… mereka kata free… jadi, saya naik lori kecil tu dan terus di bawa ke pusat pekan Vang Vieng.  Rupa-rupanya mereka bawa ke salah sebuah guesthouse yang berada di tengah-tengah pekan… patutlah free… Guesthouse tu yang sponsor.  Nasib baik diorang tak paksa untuk tinggal di guesthouse tersebut… kemudian saya perhatikan ramai penumpang yang berlalu pergi mencari guesthouse lain… manakala ada juga yang terus menginap di guesthouse tersebut.

Vang Vieng daripada Tingkat 2 Guesthouse

Malany Villa Guesthouse

Kemudian saya ke Malany Villa Guesthpouse yang terletak betul-betul di tengah pekan dan berdekatan dengan Restoran Halal Nazim.  Guesthouse ini seperti yang saya perhatikan hanya dihuni oleh golongan pelancong veteren dan tidak berapa menjadi pilihan kepada pelancong-pelancong muda. Saya berpendapat pengembara muda lebih suka guesthouse yang berdekatan dengan sungai… mungkin kerana di sana lebih mudah untuk berparti dan melakukan aktiviti di sungai seperti “tubing” atau “kayaking“…
.
“Rating” yang boleh saya bagi untuk Malany Villa ni… sederhana aje… Guesthouse yang telah agak lama ini mungkin tidak diurus dengan baik… service pun sederhana sahaja.  Saya check-in bilik double bed, ada toilet dalam bilik dan ada penghawa dingin cuma berharga 80,000 kip sehari (lebih kurang RM 35.00). Masa saya berada di guesthouse ni… hujan turun tak berhenti-henti. So… buka tingkap… pastu tidur… pergh… macam tidur di kampung je… he… he…
.
Alamat Malany Villa Guesthouse:
Savang Village, Vang Vieng District,
Vientiane Pro, Lao PDR.
Emel : malanyvangvieng@gmail.com
Tel: (856-23) 511632, (856-23) 511083, Mobile: 55518941, 23866429
.

Double Bed Room

Bilik Malany Villa Guesthouse

Makanan halal di Vang Vieng ni tidak menjadi masalah kerana terdapat Restoran Halal Nazim Indian Food di mana ini adalah cawangan Restoran Nazim di Vientiane.  Menunya juga sama… dan seperti biasa… saya order Nasi Bariyani kambing dengan Teh Tarik…  Semasa saya order makanan di sini… biasa la cakap omputeh… tiba-tiba selamba je mamak tu cakap melayu… “Saya lama duduk KL la incik… visa sudah habis Malaysia… mari sini kerja ikut tokey…”.. Ha… ha… Borak-borak dengan mamak ni sambil makan… dia bagitau ada juga orang Malaysia yang bekerja di kilang simen berdekatan yang kerap ke Restoran ini… bulan Disember hingga Mac memang ramai pelancong ke Viang Vieng.. Kalau bulan Mei hingga November kurang sedikit kerana musim hujan dan aktiviti sungai terhad kerana agak bahaya berikutan arus sungai deras.

Restoran Nazim

Keadaan Dalam Restoran Nazim

Vang Vieng ni pada asalnya hanyalah sebuah pekan kecil yang menjadi persinggahan bagi pengembara daripada Vientiane atau Udhon Thani Thailand yang hendak ke Luang Prabang ataupun sebaliknya.  Namun, Vang Vieng ni ada keistimewaannya yang tersendiri iaitu sungai dan gua-guanya.  Pengembara daripada Eropah memang suka mandi sungai di sini dan menjelajah ke dalam gua-gua yang banyak bertebaran di sebalik bukit-bukit batu kapur.  Berikutan banyak permintaan… banyak hotel-hotel dan guesthouse baru dibangunkan yang juga menyediakan perkhidmatan bersantai, mandi-manda di sungai menggunakan tube tayar yang juga dikenali sebagai “tubing“, menjelajah ke dalam gua-gua (caving), berkayak dan juga berparti.

Riverview Bungalow (resort)

Pekan Vang Vieng

Sekitar Vang Vieng

Salah satu aktiviti yang amat digemari oleh pengembara Eropah ialah “tubing“.  Banyak pusat-pusat rekreasi yang menyediakan perkhidmatan “tubing” ini di sekitar Vang Vieng.  Aktiviti “tubing” di Vang Vieng bermula dengan penyewaan “inner tyre tube” dengan harga 55,000 kip (lebih kurang RM23.00) dan bayaran deposit sebanyak 60.000 kip (lebih kurang RM25.00).  Bayaran ini termasuk kos pengangkutan samada menggunakan tuk-tuk atau lori kecil ke lokasi tempat “tubing” berada lebih kurang 3km di hulu sungai Nam Song. Setelah sampai di lokasi “tubing“, mereka akan mandi-manda di sungai menggunakan “tube” tersebut… sekali-sekala mereka akan terjun daripada menara tinggi yang terdapat tali merentasi sungai… kemudian mereka akan bergayut di tali tersebut… dan terjun ke dalam sungai…  Bushhhsss…..  Apabila penat, mereka akan lepak di tebing sungai sambil berparti (minum beer sambil menari daripada alunan muzik yang dipasang kuat).  Aktiviti seperti ini boleh berlanjutan daripada pagi sehingga petang.

Untuk pulang ke tempat penginapan di pusat pekan Vang Vieng… ada dua cara… samada dengan menaiki tuk-tuk atau pun mereka boleh duduk di atas “tube” dan dibiarkan hanyut di bawa arus ke hilir sungai hingga sampai di pusat pekan Vang Vieng sambil menikmati keindahan alam semulajadinya.  Saya secara personal, memang teringin juga melakukan aktiviti “tubing” ini semasa di sana… tetapi oleh kerana saya hanya berseorangan sahaja… agak bahaya juga jika ada berlaku apa-apa kemalangan… satu lagi, banyak kes kecurian barangan yang ditinggalkan samada di pusat tubing atau pun di hotel… maklumat yang saya perolehi adalah mungkin daripada daripada pengembara-pengambara itu juga… (maklumlah mereka ni dari pelbagai negara yang kita pun tak tau latarbelakang mereka).  Satu lagi, apabila kita berada di sini… perlulah berhati-hati dengan siapa kita berurusan dan berkawan kerana… aktiviti dadah banyak berlaku di sini kerana kedudukannya yang berdekatan dengan kawasan segitiga emas (sempadan Thailand, Burma dan Laos) yang memang terkenal dengan pusat pengeluaran dadah asia… dan sebarang urusan dengan pihak berkuasa Komunis Laos akibat disyaki terlibat dengan urusniaga dadah… amat buruk padahnya.

Pusat Perkhidmatan Tubing

Tuk-tuk ke Lokasi Tubing

Aktiviti Tubing

Aktiviti Tubing

Selain tubing, aktiviti lain yang juga popular ialah berkayak dan rafting di sungai Nam Song.  Ada juga perkhidmatan berkayak secara berkumpulan bersama jurupandu profesional daripada Vang Vieng ke Vientiane sejauh hampir 160 km.  Walau bagaimanapun… maklumat yang saya perolehi ialah berkayak di sungai hanya sejauh separuh perjalanan sahaja manakala selebihnya menaiki bas.
.
Aktiviti selepas tubing… biasanya adalah melepak di kedai makan.  Di Viang Vieng banyak kedai makan menggunakan konsep seperti Starbuck dimana mereka menyediakan kemudahan tv satelite, wifi dan menu utamanya adalah makanan Lao, western serta tidak ketinggalan… Lao Beer.  Tetapi yang paling menarik adalah konsep makan di atas pangkin (tiada kerusi) dan ada meja rendah (seperti meja jepun)… kemudian duduk di atas alas seperti tilam dan ada juga bantal…  Saya perhatikan… pengunjung biasanya akan makan-makan dan minum-minum sambil menonton tv (kebanyakannya cerita Friends)… ada juga yang asyik membaca buku sambil baring-baring… dan ada juga pengunjung yang sempat tidur…

Kedai Makan yang Menyediakan Tempat Lepak

.

.

Beberapa hari di Vang Vieng memberikan saya satu pengalaman baharu yang berharga… daripada sini juga kita boleh juga meneruskan perjalanan menggunakan jalan darat (samada bas atau minivan) ke beberapa destinasi lain seperti ke Luang Prabang di utara Laos… atau ke chiangmai dan Bangkok di Thailand… atau ke Siem Riep di Cambodia… atau ke Hanoi, Danang dan Hue di Vietnam… atau pun ke Kunming di negara China.

.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>